Di sebalik pencapaian yang tinggi dalam kebanyakan aspek, hakikatnya penyertaan wanita pada sektor ekonomi di Malaysia dilihat masih rendah – dengan data semasa merekodkan hanya 56.6% wanita terlibat pada arena ekonomi negara berbanding lelaki 83.0%.
Peratusan ini mengikut data Jabatan Perangkaan (DOSM) bersama sokongan laporan Jurang Jantina Sedunia 2025 – dilihat tidak seimbang, walaupun kumpulan wanita telah meraih pencapaian yang baik pada segmen pendidikan dengan skor 0.996 mata dan kesihatan pula dengan skor 0.967. Namun jurang untuk wanita menyertai arena ekonomi kekal tinggi.
Berdasarkan laporan global itu, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-71 dengan skor peluang ekonomi buat wanita adalah sekitar 0.703 mata. Dan untuk taburan gaji pula, bagi setiap RM100 gaji dan upah yang diterima lelaki, wanita sekadar menerima RM93.08 pada pasaran semasa. Menerusi pengukuran skor itu berlandaskan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) – ia jelas berlakunya ketidaksamaan antara wanita dan lelaki.
Selain peluang ekonomi, penguasaan politik di Malaysia turut memaparkan jurang yang tinggi dengan skor 0.096 – di mana penyertaan wanita di Parlimen hanyalah 13.5% dan jawatan Menteri pula sekitar 16.1%. Skor ini sekali gus menyebabkan Malaysia di kedudukan ke-122 pada laporan tersebut.
