Untuk memastikan persaingan pasaran kurier di Malaysia kekal seimbang, kerajaan melalui Kementerian Komunikasi kelak akan perhalusi cadangan untuk menetapkan harga lantai iaitu harga minimum wajib ke atas perkhidmatan kurier.
Buat masa ini, Malaysia telahpun menyediakan Garis Panduan Harga Rujukan bagi perkhidmatan kurier sejak 2022 namun panduan ini bukanlah harga minimum yang mandatori tetapi berperanan menjadi rujuan buat pemegang lesen kurier di Malaysia. Pendekatan ini selaras dengan peruntukan Seksyen 36 Akta Perkhidmatan Pos 2012 yang mana membolehkan pemain industri mengawalselia penetapan kadar khidmat kurier di Malaysia.
Namun Kementerian Komunikasi akui terdapat keperluan yang wajar untuk meneliti usul penetapan harga lantai khidmat kurier ini. Tindakan itu menurut notis lisan di Parlimen akan melalui proses pengauditan kos dan semakan struktur harga industri bagi memastikan pelarasan sekiranya harga lantai mandatori diperkenalkan.
Secara menyeluruh kini sebanyak 102 syarikat telah menerima lesen selaku penyedia perkhidmatan kurier di Malaysia dengan 21 pemain adalah syarikat antarabangsa. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 98% keseluruhan bungkusan di Malaysia dikendalikan oleh 15 pemegang lesen utama seperti J&T Express, SPX Xpress, Ninja Van, Pos Malaysia, GDeX, City-Link Express, dan ABX Express.
Dan daripada kumpulan itu, didapati J&T Express dan SPX Xpress menjadi dua pemain utama industri berikutan mengendalikan sebanyak 73.5% daripada jumlah keseluruhan pasaran kurier negara.