Artikel

Indonesia Perkenal Permit Bolehkan Bekas Rakyat, Diaspora – Untuk Bekerja Dan Tinggal Tanpa Had

Indonesia kini telah membuka permohonan permit baharu yang dikenali sebagai Kewarganegaraan Global Indonesia (GCI). Permit ini membolehkan bekas warganegara Indonesia untuk tinggal dan bekerja di negara itu tanpa had tempoh, sekali gus menjadi alternatif kepada isu pemilikan dwi kewarganegaraan.

Mengikut undang-undang sedia ada Indonesia tidak mengiktiraf pemilikan dua kewarganegaraan buat kumpulan dewasa, di mana rakyatnya perlu memilih kewarganegaraan menjelang usia 18 tahun. Menerusi akses GCI ini, bekas warganegara, warga asing berketurunan Indonesia sehingga darjah kedua (berstatus cucu), serta anak-anak daripada perkahwinan campur kini dibenarkan memiliki permit tanpa had untuk tinggal mahupun bekerja di Indonesia.

Selain isu status warganegara, langkah ini juga dilihat sebagai tindak balas Indonesia untuk menangani isu migrasi kalangan tenaga pakar, atau fenomena ‘brain drain’ ke pasaran lain. Dengan penawaran ini, ia dilihat akan menarik semula kemasukan bakat dan bekas rakyat negara itu untuk menyumbang kepada pasaran ekonomi Indonesia.