Artikel

Ekonomi Digital Malaysia Disasar Capai $39 Bilion Pada 2025 – Melonjak 19%

Dengan lonjakan prestasi 19% berbanding tahun 2024, pasaran ekonomi digital Malaysia dijangka berupaya mencapai $39 bilion pada tahun ini – dengan pertumbuhan itu, ini menjadikan Malaysia sebagai pasaran paling pesat berkembang di Asia Tenggara pada tahun 2025.

Data e-Conomy 2025 hasil kerjasama Google, Temasek, dan Bain & Company yang dikongsikan pada hari ini menjelaskan prestasi itu antaranya didorong akan pertumbuhan arena e-dagang negara – yang dilihat terus berkembang dijangka mencecah US$20 bilion menjelang 2025. Sektor ini mencatat pertumbuhan 21% tahun-ke-tahun dalam GMV, menjadikan ia kadar kedua terpantas di Asia Tenggara.

Tidak hanya itu, akses kewangan secara digital dilihat turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi digital dengan pembayaran digital dijangka mencecah $213 bilion dalam Gross Transaction Value (GTV) menjelang 2025.

Momentum ini berupaya dipacu oleh peralihan pesat Malaysia ke arah pembayaran nirtunai (tanpa tunai), termasuk peningkatan 28% dalam penggunaan pembayaran digital seperti yang dilaporkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Selain itu, penerimaan rentas sempadan turut berkembang dengan ketara apabila standard DuitNow QR kini boleh beroperasi merentasi semakin banyak pasaran di Asia Tenggara.

Malah, laporan turut menunjukkan Malaysia juga menerajui aktiviti IPO di rantau ini, menyumbang separuh daripada keseluruhan penyenaraian dalam tempoh 12 bulan lalu.

Untuk segmen AI pula, Malaysia telah meraih 32% daripada keseluruhan pembiayaan AI swasta di Asia Tenggara, berjumlah $759 juta, antaranya melibatkan didorong arena khidmat  kewangan digital. Peningkatan ini menandakan persekitaran pelaburan yang lebih stabil telah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi kompetitif untuk syarikat teknologi berimpak tinggi dan pengembangan digital di pasaran serantau.