GoTo Group yang mewakili jenama Gojek dan Tokopedia di pasaran Indonesia – kini telah mengumumkan lantikan Hans Patuwo selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bagi menggantikan Patrick Walujo pada operasi kumpulan. Tindakan itu secara langsung dapat membuka kembali rundingan pengambilalihan operasi kepada Grab Holdings.
Laporan Bloomberg ini menjelaskan penamatan tugas Patrick itu turut didorong akan prestasi syarikat yang dilihat kian merosot dengan nilainya menurun lebih 40% pada pasaran saham. Dengan peralihan tugas itu, ini bermakna Hans Patuwo akan menerajui kumpulan dengan mengukuhkan kembali nilai syarikat di pasaran semasa.
Hasil lantikan baharu itu, saham GoTo memaparkan peningkatan 4.7% dengan nilai pasaran ketika ini sekitar $5 bilion. Namun berhubung peralihan operasi kepada Grab dilihat masih menjadi persoalan berikutan sebelum ini – pada Jun 2025 , Grab menolak makluman bahawa syarikat dalam rundingan untuk mengambilalih GoTo.
Berdasarkan situasi itu, status pengambilalihan antara kedua-dua jenama ini kekal menjadi tanda tanya. Walau bagaimanapun, potensi hala tuju rundingan ini dijangka akan diketahui kelak, selari dengan pelaksanaan Mesyuarat Agung Khas (EGM) oleh GoTo pada 17 Disember 2025.