Artikel

Hanya 58% Rakyat Malaysia Optimis Simpanan Mencukupi – Untuk Pencen Kelak

Walaupun 58% rakyat Malaysia optimis untuk memiliki simpanan yang mencukupi pada hari tua kelak – namun hanya 6% sahaja menjelaskan berupaya bersara dengan tenang tanpa sebarang komitmen. Sementara lebih 40% pula berpendapat miliki potensi untuk terus bekerja ketika di usia emas bagi meraih kewangan yang stabil di masa hadapan.

Data di bawah tinjauan Manulife Asia 2025 ini menjelaskan, situasi ini antaranya didorong akan status Malaysia selaku negara menua kelak, yang mana lebih ramai penduduk berusia 60 tahun ke atas di pasaran ekonomi negara. Selain faktor itu, penerapan waktu bekerja fleksibel dilihat turut mendorong rakyat negara menjadikan pencen sekadar sebagai pilihan dan bukan lagi keutamaan.

Maka ke arah memiliki tahap kewangan yang stabil, tinjauan turut merekodkan sekitar 61% rakyat lebih memilih melabur pada produk kewangan pendapatan tetap untuk meraih dana yang stabil berbanding produk pelaburan yang berisiko tinggi. Dan jika dilihat pada  keutamaan rakyat Malaysia adalah memiliki kebebasan kewangan, tiada tekanan komitmen berbanding sekadar miliki umur yang panjang.