Artikel

KL Semakin Sesak: Secara Purata Lebih 8,000 Penduduk Tinggal Dalam Setiap 1KM Persegi

Sejak beberapa dekad lalu, Malaysia dilihat telah alami kadar perbandaran yang sangat pesat, di mana berpotensi meningkat kepada 80% menjelang tahun 2030.

Jangkaan di bawah Rancangan Fizikal Negara Ke-4 itu memperincikan ketika ini kadar perbandaran di Malaysia telah meningkat kepada 75.8% setakat 2024 berbanding 71% pada tahun 2010. Perkongsian data Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini menjelaskan terdapat beberapa bandar utama berdepan isu kepesatan. Antaranya Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang dan Selangor.

Dan tahukah anda ketika ini KL merekodkan 8,235 orang penduduk untuk setiap 1 kilometer persegi. Senario ini sekaligus menyebabkan berlakunya kesesakan antaranya pada akses pendidikan. Di mana sekolah-sekolah kawasan bandar berdepan kesesakan akibat pertambahan pelajar pada setiap tahun. Keadaan ini terus alami kesukaran susulan kekurangan tanah di kawasan bandar menyebabkan pembinaan sekolah baharu melalui kaedah konvensional iaitu pembangunan di atas tanah luas tidak dapat dilaksanakan. Kaedah ini menuntut sekolah rendah dengan keperluan sehingga 8 ekar dan sekolah menengah sehingga 12 ekar.

Maka untuk sektor pendidikan am, tumpuan sekolah vertikal dilihat akan menjadi penyelesaian pada isu kepesatan penduduk bandar ini. Model persekolahan yang dibina secara menegak pada kawasan padat di kediaman dan komersial ini akan disemak bersama model persekolahan di negara maju seperti Australia, Singapura, Hong Kong dan Jepun. Usaha ini tidak sekadar mengoptimumkan sumber semasa tetapi memberi jaminan akan akses pendidikan yang saksama buat kawasan bandar.