Untuk memastikan keselamatan pendulang dan alam sekitar tidak terjejas, Kelantan kini sedang meneliti syarat serta garis panduan berhubung aktiviti mendulang emas di negeri tersebut.
Penelitian di bawah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) ini mengikut laporan Bernama masih diperingkat awal dan belum dimuktamadkan. Penetapan draf awal ini akan dilaksanakan sebelum ia dibentangkan pada mesyuarat exco negeri kelak.
Pihak negeri memberi kebenaran akan aktiviti mendulang emas secara tradisional, namun penggunaan peralatan tertentu seperti mesin mudah alih yang dikategorikan sebagai industri, adalah tidak dibenarkan. Penggunaan peralatan itu sekaligus menjadikan ia sebagai aktiviti berbentuk industri maka pendulang yang terlibat perlu memohon lesen dan lalui syarat industri perlombongan yang lebih ketat.
Berikutan isu itu, Kelantan ingin tampil dengan garis panduan baharu sebagai langkah pemantauan secara menyeluruh ke atas semua pendulang emas, tindakan ini akan diselaraskan melalui lesen yang akan dikeluarkan kelak.