Sepertimana yang umum ketahui, ketika ini Bank Negara Malaysia (BNM) telah membuka ruangan rundingan awam berkaitan rangka Kewangan Terbuka (Open Finance) yang disasarkan akan dilaksanakan pada 2027.
Menerusi pembukaan medium maklum-balas itu mengikut laporan The Edge, BNM mahu rakyat Malaysia memiliki hak dalam mengawal cara bank berkongsikan data kewangan mereka merentasi pelbagai institusi kewangan.
Sebagai perincian, perkongsian data di bawah persetujuan pengguna ini antaranya akan melibatkan perkongsian transaksi 12 bulan terakhir pengguna merangkumi tarikh, penerangan transaksi dan jumlah yang terlibat serta baki akaun semasa.
Sementara kriteria yang dilaraskan untuk pemain sektor kewangan – BNM memaklumkan bank dan institusi kewangan yang memiliki lebih 100,000 pelanggan serta penyedia dompet digital yang memiliki lebih 5 juta pengguna aktif – diwajibkan untuk sertai pematuhan ini. Sementara pemain kewangan lain pula, penyertaan mereka adalah sebagai pilihan.
Berlandaskan matlamat itu, BNM memaklumkan rangka ini akan direalisasikan secara berperingkat. Di mana rangka ini akan dimulakan dengan kawalan perkongsian data bersama bank melibatkan pengguna individu pada 1 Januari 2027, diikuti pengguna kalangan PKS pada 1 Januari 2028 dan seterusnya inisiatif perkongsian data ini akan diperluaskan bersama institusi kewangan dan penyedia dompet digital pada 1 Januari 2029.
Dengan hak kawalan ini, ia dilihat tidak sekadar lebih telus tetapi merangkumi persetujuan perkongsian data secara bersama dengan pengguna negara. Malah ia berupaya melandaikan risiko penipuan berikutan perkongsian data kewangan ini dilaksanakan di bawah saluran yang dikawalselia.