Artikel

BNM Keluarkan Draf Kewangan Terbuka – Mahu Perhalusi Hak Perkongsian Data Pengguna

Selari dengan matlamat negara berhubung pelaksanaan rangka Kewangan Terbuka pada tahun 2026, Bank Negara Malaysia (BNM) kini telah membuka ruang rundingan awam berhubung tindak-balas kerangka tersebut.

Buat pengetahuan umum, rangka kewangan terbuka ini akan mewujudkan suatu model asas berhubung perkongsian maklumat pelanggan dengan persetujuan, merentasi semua sektor kewangan. Rangka ini secara dasarnya akan memberi kawalan dan pilihan kepada pengguna untuk membenarkan pihak ketiga iaitu tidak sekadar pihak bank untuk mengakses data kewangan pengguna. Ini tidak hanya tertumpu kepada data simpanan tetapi meliputi data kewangan menyeluruh seperti insurans, pelaburan dan dana persaraaan.

Menerusi agenda perkongsian secara sah ini, ia sekaligus akan membantu kumpulan kewangan lebih memahami dinamik kewangan pengguna dan menyediakan tawaran produk kewangan yang disesuaikan mengikut portfolio pengguna. Malah pengguna juga dapat laksana perbandingan akan penawaran yang diterima dengan lebih telus di bawah satu platform.

Usaha BNM ini juga, tidak sekadar memanfaatkan pemain ekonomi tetapi turut bertujuan mengurangkan risiko penipuan berikutan data yang diakses adalah di bawah saluran yang dikawal selia.

Dengan pengeluaran draf pendedahan ini, semua pihak boleh berkongsikan maklum-balas anda pada medium rasmi iaitu Open Finance selewatnya 1 Mac 2026.