Artikel

GXBank Pacu Akses Pendidikan – Tolak Stigma Biasiswa Sekadar Simbol Status Melalui Impian Gigih

Di tengah-tengah cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, yang sering kali meletakkan beban berat di bahu keluarga berpendapatan rendah, GXBank Berhad – bank digital pertama Malaysia kini mengambil langkah proaktif dalam mendefinisikan semula peranan biasiswa. Melalui inisiatif utamanya, Biasiswa Impian Gigih yang diperkenalkan pada Jun 2024, dana ini tidak sekadar menampung kos pendidikan, malah bertujuan menghapuskan stigma lama yang sering mengaitkan biasiswa dengan status sosial semata-mata. GXBank berpendirian akses dana pendidikan adalah hak yang harus diperoleh melalui usaha keras dan cita-cita, tanpa mengira latar belakang kewangan pelajar. Dengan komitmen itu ia secara langsung dapat menamatkan kemarau akses pendidikan yang dihadapi oleh golongan berhak.

Kos Pendidikan Bukan Tanggungjawab Pelajar

Kemarau kos pendidikan yang disebut-sebut kini adalah realiti yang sering menghalang ramai pelajar cemerlang daripada melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah. Walaupun berjaya mencapai keputusan akademik yang hebat, ramai yang terpaksa melupakan impian ke universiti kerana kekangan kewangan keluarga, terutamanya di kalangan isi rumah berpendapatan rendah. Situasi ini yang sekaligus mendorong kepada isu keciciran pelajar. Bukan kerana tiada kemahiran dan pengetahuan tetapi kerana beban yuran pengajian dan kos sara hidup melenyapkan potensi tersebut. 

Justeru dengan medium Impian Gigih, GXBank mahu mengatasi isu kekangan wang secara menyeluruh. Di mana di bawah skim ini, ia menawarkan yuran pengajian penuh sepanjang tempoh pengajian pelajar di institusi pengajian awam Malaysia (IPTA). Lebih menarik, skim ini turut menyediakan akses elaun sara hidup dan penginapan kepada pelajar yang terlibat.

Dengan sokongan komprehensif ini, ia dapat memastikan kumpulan penerima Biasiswa Impian Gigih dapat menumpukan sepenuhnya perhatian kepada pengajian mereka tanpa perlu khuatir akansumber dana sekaligus membebaskan mereka daripada perlu mengambil pekerjaan sambilan yang mungkin menjejaskan prestasi akademik. 

Impian Gigih – Bukan Medium Biasiswa Yang Berteras Status Sosial

Biasiswa kadangkala sering disalahertikan sebagai status sosial susulan terdapat sebilangan pelajar golongan elit meraih akses dana pengajian ini. GXBank secara tegas menolak stigma ini, ia kerana penawaran biasiswa bukanlah semudah yang disangka – ia tidak sekadar tertumpu kepada kategori pendapatan semata tetapi meneliti tahap akademik dan kelayakan pelajar berhubung kursus pengajian yang diikuti. 

Tetapi di bawah inisiatif GXBank, sememangnya keutamaan diberikan kepada pelajar kalangan pendapatan rendah. Prinsip selari dengan agenda GXBank untuk mengutamakan golongan yang memerlukan. Lebih menarik tidak hanya sokongan dana, skim ini turut menerapkan elemen pembangunan dan pendedahan kepada penerima biasiswa. Ini termasuk peluang untuk menjalani latihan praktikal bersama GXBank, kursus tambahan yang bertujuan membina daya tahan, serta pendedahan kepada kemahiran sedia masa hadapan. Selain itu, program unik pendedahan di luar negara turut ditawarkan, membuka minda dan perspektif global kepada pelajar yang mungkin tidak pernah berpeluang melancong ke luar negara sebelum ini.

Dengan melengkapkan penerima dengan kemahiran industri dan pengalaman profesional – Rnggt melihat agenda GXBank membantu graduan bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah sedia untuk memasuki pasaran kerja yang kompetitif. Tindakan ini secara efektif mengubah biasiswa daripada sekadar bantuan kewangan kepada program pembangunan bakat yang holistik, di mana kejayaan diukur melalui impak dan keupayaan mereka menyumbang semula kepada masyarakat, bukan hanya dari mana mereka berasal. Kini seramai 10 pelajar cemerlang telah terpilih untuk penawaran Impian Gigih bagi tahun 2025 – di mana kumpulan pelajar terpilih ini merentasi pelbagai bidang seperti perundangan, sumber manusia, pendidikan, dan kewangan di institusi pengajian tinggi awam negara (IPTA). 

Selain Biasiswa – GXBank Perluas Akses Pendidikan Kepada Bantuan Asas, Sekolah

Komitmen GXBank terhadap inisiatif Impian Gigih adalah sebahagian daripada misi yang lebih luas untuk memacu keterangkuman dan kecelikan kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia. Pendedahan kepada ilmu pengurusan kewangan adalah amat penting bagi memastikan kelestarian kejayaan pendidikan yang diperoleh. Melalui program celik kewangan yang disepadukan, GXBank mendidik para penerima biasiswa dan komuniti mereka tentang membuat keputusan kewangan yang bijak, sekali gus membolehkan mereka menguruskan elaun sara hidup dengan lebih efektif.

Program Impian Gigih turut meluaskan jangkauannya dengan menyokong anak-anak pekerja gig dan ibu bapa B40 melalui dermasiswa sekolah, yang dilaksanakan melalui tanggunjawab sosial bersama MYDIN dan GoBarakah. Ini merupakan usaha strategik dalam membantu mengatasi ketidakstabilan pendapatan ibu bapa dengan penyediaan akses bantuan asas. Dengan memberikan bantuan di peringkat sekolah, GXBank membantu membina asas yang kukuh seawal mungkin.Tambahan pula, usaha ini diperluaskan pada tahun ini dengan kerjasama Pandai bagi menyediakan akses tuisyen percuma secara atas talian kepada 100 murid Tahun 6 terpilih. Dengan kepelbagaian akses yang tersedia, ia sekaligus memberi nilai tambah kepada anak-anak di Malaysia dalam merealisasikan impian pendidikan mereka.


Secara keseluruhannya, GXBank dilihat memiliki usaha untuk menjadi lebih daripada sekadar penyedia perkhidmatan kewangan, dengan menjadi pemangkin kepada perubahan sosial di Malaysia. Menerusi biasiswa Impian Gigih, ia adalah bukti bahawa entiti korporat mempunyai peranan penting dalam menangani jurang sosial dan ekonomi. Dengan langkah proaktif tersebut, ia sekaligus tidak hanya mengukuhkan peranannya pada arena kewangan negara tetapi membantu menyokong generasi baharu seperti graduan untuk kembali menyumbang dan memajukan komuniti mereka di masa hadapan kelak.