Artikel

DBS Dilaporkan Kekal Intai Peluang – Mahu Beli Saham Alliance Bank Malaysia

DBS Group Holdings, dilihat kekal tidak berputus asa untuk meraih peluang memiliki pegangan dalam Alliance Bank Malaysia – susulan ketika ini dilaporkan sedang laksana rundingan bersama peringkat tertinggi iaitu melibatkan perbincangan bersama kerajaan.

Mengikut laporan The Edge Singapore ini, kelihatannya DBS memanfaatkan peluang tatkala kerajaan Malaysia sedang mencari lebih banyak konsesi daripada Singapura berhubung pengukuhan agenda Zon Ekonomi Khas.

Perolehan pegangan itu untuk makluman adalah peralihan pegangan daripada Vertical Theme iaitu pemegang saham terbesar Alliance Bank Malaysia. Pembelian kepentingan ini dimaklumkan adalah melibatkan sekitar 29.06% pegangan.

Tindakan peralihan pegangan ini bagaimanapun dijelaskan memiliki tentangan dalam kalangan bank tempatan berikutan menimbulkan persoalan mengapa peralihan tersebut tidak tertumpu kepada perbankan tempatan berbanding DBS. Ini kerana kemasukan DBS akan memberi kelebihan kepada mereka dalam menguasai pasaran perbankan di Malaysia. Situasi ini sekaligus akan memberi tekanan kepada pemain perbankan yang lain.

Walaupun DBS sedang laksana rundingan bersama pihak tertinggi dan memiliki potensi untuk merealisasikan matlamat tersebut, ketika ini kelulusan tersebut masih lagi tergendala susulan Bank Negara Malaysia (BNM) kekal mengambil pendekatan berdiam diri tanpa memberi sebarang maklum-balas persetujuan mahupun penolakan.