Artikel

Selangor Akan Kurangkan Duti Hiburan Bagi Artis Luar Negara Kepada 5% – Pada 2026

Bagi menggalakkan lebih ramai penduduk negara dan rakyat Selangor menikmati aktiviti pementasan dari artis luar negara – Selangor kini mengumumkan akan menurunkan duti hiburan ke atas kumpulan artis luar negara sebanyak 50% kepada 5% mulai tahun hadapan, 2026.

Pengumuman yang dilaksanakan pada Belanjawan Selangor 2026 hari ini, dilihat selaras dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi mengalakkan lebih ramai kemasukan pelancong ke Malaysia. Usaha ini turut akan meningkatkan penglibatan bakat luar negara di Selangor.

Selain memberi pengurangan duti hiburan kepada artis luar negara, bakat tempatan turut meraih insentif cukai hiburan yang menarik. Antaranya Selangor bersetuju untuk mengecualikan cukai hiburan kepada program keseniaan keagamaan seperti nasyid dan pementasan wayang tokong bermula 1 Januari 2026 sehingga 31 Disember 2026. 

Tidak hanya itu pementasan artis tempatan turut akan menerima pengecualian cukai hiburan pada tahun 2026 sebagaimana yang dilaksanakan pada tahun 2025. Seterusnya Taman Tema pula akan menerima pengecualian penuh cukai hiburan ke atas beberapa kumpulan pengguna seperti warga emas, orang kurang upaya dan kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah. Dengan makluman itu, dijangka industri hiburan akan memperlihatkan lonjakan prestasi pada tahun hadapan.