Seperti yang dimaklumkan pada Jun lalu, Foodie Media kini secara rasminya melancarkan prospektus penyenaraian awam kumpulan di Pasaran Ace Bursa Malaysia pada 28 November kelak.
Menerusi langkah ini, Foodie Media akan mengeluarkan 138 juta saham baharu dan menawarkan 112 juta saham sedia. Berdasarkan perincian sejumlah 44.4 juta saham akan diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, sementara 15 juta pula kepada kakitangan dan pihak yang menyumbang kepada kumpulan dan 78.6 juta pula untuk kumpulan pelabur terpilih menerusi penempatan persendirian.

Dengan IPO, usaha ini dilihat akan membawa kepada perkembangan kumpulan secara berkala. Setakat ini terdapat 37 jenama di bawah Foodie Media bersama jumlah pengikut melebihi 46 juta di pelbagai medium media sosial merentasi pasaran Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Melalui pelancaran prospektus ini, Foodie Media menjangkakan infrastruktur operasi dapat ditambahbaik dengan meningkatkan capaian digital dan menghasilkan lebih banyak kandungan inovatif. Maka untuk ketahui lanjut, semua pihak boleh layari laman Bursa untuk merujuk prospektus penuh.