Artikel

Sektor Perkhidmatan Malaysia Kini Meningkat 6.3% – Antaranya Kuasa Beli Didorong Bantuan Tunai SARA

Hasil peningkatan aktiviti perniagaan dan prestasi positif pada semua segmen utama dalam hab ekonomi – sektor Perkhidmatan di Malaysia kini memaparkan pertumbuhan yang kukuh, apabila melonjak 6.3% bagi suku ketiga 2025.

Pertumbuhan positif ini didorong akan peningkatan pada segmen borong, penginapan dan perkhidmatan makanan serta minuman yang meningkat sebanyak 5.8%.

Prestasi ini menurut tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut disokong oleh peningkatan perjalanan domestik, perbelanjaan pengguna yang kukuh hasil rangsangan daripada inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta ketibaan pelawat antarabangsa yang lebih tinggi. Melalui inisiatif SARA, semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas menerima bantuan tunai sekali bayar sebanyak RM100 yang dikreditkan ke MyKad dan boleh digunakan mulai 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 – sekaligus membantu meningkatkan kuasa beli isi rumah serta merancakkan aktiviti berkaitan pengguna.

Selain itu, susulan pada suku ketiga memperlihatkan lebih banyak tempoh cuti diraih oleh penduduk negara merangkumi cuti sekolah, Hari Malaysia dan kelepasan am tambahan dilihat turut mendorong tindakan pelancongan domestik meningkat – membawa kepada pertumbuhan yang positif.

Selain dorongan inisiatif tunai dan pelancongan domestik, peningkatan pembelian secara atas talian seperti e-dagang turut memacu pertumbuhan pada segmen kurier dengan peningkatan hampir 10% pada tempoh tersebut. Prestasi ini mencerminkan permintaan berterusan bagi perkhidmatan logistik
dan penghantaran darat yang disokong oleh aktiviti perdagangan domestik yang aktif serta
pengembangan e-dagang yang berterusan.