Artikel

Ekonomi Digital Asia Tenggara Dijangka Lepasi $300 Bilion Pada Akhir 2025 – Kesan E-Dagang, AI

Pertumbuhan yang terus meluas pada arena e-dagang dan kecerdasan buatan (AI) dilihat berpotensi membawa nilai ekonomi digital Asia Tenggara melepasi $300 bilion menjelang akhir tahun ini, 2025.

Tinjauan di bawah e-Conomy SEA 2025 ini memaparkan prestasi itu didorong hasil liputan ekonomi digital yang lebih luas – tidak sekadar meliputi Malaysia, Singapura, Filipina, Thailand dan Vietnam tetapi kini turut merangkumi pasaran Brunei, Kemboja, Laos dan Myanmar.

Lebih terperinci, arena e-dagang dilihat menjadi segmen terbesar dengan jualannya dijangka mencapai $185 bilion pada tahun ini bersama hasil pendapatan mencapai $41 bilion. Selain e-dagang, segmen AI turut menyokong pertumbuhan tersebut dengan perkembangan sekitar 15% berbanding tahun 2024 kepada nilai $8 bilion.

Biarpun majoriti syarikat AI tertumpu pada pasaran Singapura dengan memiliki hampir 500 syarikat namun pertumbuhan segmen ini dilihat kian rancak kalangan pemain Asia Tenggara yang lain ini merangkumi Malaysia (60), Indonesia (45), Vietnam (40), Thailand (20) dan Filipina (10). Dengan kerancakkan itu ia sekaligus akan memberi nilai tambah kepada pasaran Asia Tenggara di masa hadapan – dalam mengukuhkan pertumbuhan ekonomi di pasaran global.