Restaurant Brands International (RBI), syarikat induk disebalik rangkaian makanan segera Burger King kini dilaporkan meraih suntikan modal $350 juta dalam meluaskan jejak jenama Burger King di pasaran China.
Melalui usahasama dengan CPE iaitu firma pelaburan China ini – ia akan meningkatkan rangkaian Burger King di seluruh China kepada lebih 4,000 cawangan menjelang tahun 2035 kelak. Setakat ini Burger King memiliki sekitar 1,250 cawangan di pasaran China.
Selain itu menerusi pelaburan tersebut, CPE akan memegang 83% kepentingan pada perniagaan dan baki 17% akan kekal di bawah RBI.
Adanya suntikan modal baharu dari CPE ini, ia akan membantu Burger King mengukuhkan perluasan jenama menyaingi pesaing tempatan. Ini didorong hasil pemahaman CPE yang lebih baik akan ekosistem perniagaan di China. Perkongsian ini akan membantu dalam proses pemilihan lokasi, pematuhan peraturan tempatan, dan mempercepatkan pembangunan rantaian bekalan. Secara menyeluruh perjanjian ini dijangka dapat dimuktamadkan pada suku pertama 2026 kelak.