Dalam beberapa tahun mendatang, Malaysia dilihat optimis untuk mengurangkan tindakan import beras menjelang tahun 2027. Sasaran ini berikutan, pengeluaran beras tempatan dijangka naik 3% pada setiap tahun dan mampu mencapai sebanyak 1.50 juta tan metrik pada tempoh tersebut.
Makluman pada notis Parlimen ini mencerminkan komitmen negara dalam mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.
Selain beras, bekalan komoditi lain turut akan alami penurunan bekalan import secara berkala berlandaskan keperluan semasa Malaysia. Antaranya adalah bekalan import daging lembu dan kerbau disasar melibatkan 4.70 kepada 1 tan metrik pengeluaran domestik, diikuti ayam dengan sasaran nisbah import 0.13 kepada 1 tan metrik pengeluaran tempatan dan sayur pula melibatkan sasaran nisbah import 1.64 kepada 1 tan metrik pengeluaran tempatan.
Dengan usaha ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin ia dapat mengukuhkan pengeluaran tempatan sejajar di bawah Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (PTDSMN) dan Dasar Agromakanan Negara. Yang mana dapat meningkatkan keupayaan sara diri negara pada tempoh yang lebih lama bersama rantaian bekalan yang mampan.
Setakat ini antara negara utama yang menjadi pilihan import beras adalah melibatkan Vietnam, Pakistan, India, Thailand dan Kemboja.