Dengan pasaran modal yang semakin berkembang namun kekal memiliki kekurangan bakat – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini secara rasminya melancarkan program investED for Returning Women, iaitu inisiatif latihan dan kemasukan semula yang direka untuk menyokong wanita yang ingin menyertai semula pasaran modal selepas berhenti seketika daripada kerjaya.
Program ini untuk makluman dilengkapi dengan panduan pengetahuan, kemahiran dan peluang untuk berajaya pada arena pasaran modal. Setakat ini lebih 600 permohonan telah diraih SC – yang mana mencerminkan minat serta permintaan tinggi dalam kalangan wanita untuk meneroka peluang pekerjaaan profesional di pasaran semasa.
Buat pengetahuan umum, setakat 1 Oktober 2025 didapati lebih 34% daripada jawatan lembaga pengarah yang tersedia di 100 syarikat yang disenarai Bursa Malaysia adalah diwakili wanita. Maka dengan pemerkasaan melalui program sedemikian dijangka lebih ramai wanita menyertai arena ekonomi ini dan mengukuhkan daya tahan pasaran negara.
Hasil penyertaan medium ini, SC turut akan menjadi pemudahcara penempatan pekerjaan dengan menghubungkan peserta bersama syarikat rakan kongsi. Secara menyeluruh, program disokong oleh 30% Club Malaysia, LeadWomen Sdn Bhd, Securities Industry Development Corporation (SIDC), PricewaterhouseCoopers Malaysia Holdings Sdn Bhd (PwC) dan Talent Corporation Malaysia Berhad. Rakan kongsi memainkan peranan aktif dalam mereka bentuk modul latihan dan menawarkan penempatan tempat kerja. Bagi maklumat lanjut, semua pihak boleh layari investED for Returning Women untuk memahami perincian seterusnya.