Artikel

Indonesia Mahu Buang 3 Kosong Pada Rupiah – Sasar RUU Redenominasi Selesai 2027

Usul yang dirangka sejak tahun 2012, dilihat berpotensi direalisasikan pada beberapa tahun mendatang – ini berikutan Indonesia dalam tindakan untuk laksana Rang Undang-Undang (RUU) baharu mendenominasikan semula mata wang Rupiah pada pasaran semasa. Langkah ini berpotensi membuang angka sifar yang terdapat pada Rupiah semasa – antaranya menjadikan Rp 1,000 kepada Rp 1. 

Makluman laporan CNA pada minggu ini, menjelaskan rancangan di bawah Kementerian Kewangan Indonesia ini bertujuan menambahbaik aliran ekonomi mereka bagi mengekalkan keseimbangan nilai mata wang Rupiah pada pasaran global.

Berdasarkan perkongsian rancangan tersebut, RUU Redenominasi ini dijangka akan dimuktamadkan pada tahun 2027 kelak. Dengan matlamat ini, ia bermakna pentadbiran Indonesia dilihat telah bersedia berdepan sebarang risiko – khususnya melibatkan peruntukan kos perubahan yang lebih tinggi dan tindak-balas sentimen pelabur ke atas langkah tersebut.