Penemuan mengejutkan mendedahkan bahawa sekitar 10% daripada hasil jualan Meta pada tahun 2024, yang dianggarkan bernilai $16 bilion, dijana melalui iklan-iklan yang mempromosikan aktiviti penipuan termasuk skim e-dagang dan pelaburan palsu.
Menurut laporan Reuters yang merujuk kepada rekod dalaman tahun lalu ini, walaupun Meta mencatatkan nilai jualan keseluruhan lebih $164.5 bilion pada tahun 2024, pengukuran laporan mendapati 10% daripada pendapatan ini adalah hasil langsung daripada iklan penipuan (scam) yang dipaparkan di platform utamanya, Facebook dan Instagram.
Selain isu utama ini, laporan tersebut turut mendedahkan bahawa Meta menjana sekitar $7 bilion setiap tahun daripada iklan yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi kerana memaparkan maklumat promosi yang mengelirukan pengguna.
Bertindak balas pada isu ini, wakil Meta menegaskan komitmennya untuk menangani masalah tersebut secara agresif. Walau bagaimanapun, Meta turut menjelaskan bahawa peratusan 10% itu hanyalah anggaran kasar dan berdasarkan semakan mereka, kebanyakan iklan yang terlibat sebenarnya tidak melanggar peraturan pemaparan yang telah ditetapkan syarikat.