Seperti yang dijanjikan pada tahun lalu, Selangor kini merealisasikan agenda mereka dengan melancarkan khidmat ambulans percuma bersama rakyat negeri di bawah inisiatif Ambulans Kita Selangor pada hari ini.
Melalui pengenalan khidmat percuma ini dengan kerjasama St John Ambulans Malaysia (SJAM), sejumlah 48 ambulans disediakan bersama peruntukan RM1 juta buat kemudahan orang awam. Di mana program ini menawarkan perkhidmatan ambulans percuma satu atau dua hala bagi golongan sasar, termasuk keluarga berpendapatan di bawah RM5,000, pesakit terlantar, serta mereka yang memerlukan sokongan oksigen semasa perjalanan ke fasiliti kesihatan awam.
Maka untuk tindakan permohonan, akses ini boleh dimohon melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di daerah terlibat, dan akan diselaraskan bersama St. John Ambulans Malaysia – Negeri Selangor bagi memastikan penugasan ambulans yang tuntas dan efisien.
Untuk peringkat awal, khidmat ini akan tersedia di 3 daerah iaitu Petaling, Kuala Langat dan Kuala Selangor – melibatkan 6 PBT dan 26 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), sebelum ia diperluas secara menyeluruh pada keperluan penduduk negeri Selangor.