Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) kini memaklumkan bermula akhir 2025 kelak – terdapat perubahan pada kaedah taksiran zakat melibatkan pelabur beragama Islam pada Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan unit amanah harga tetap di bawah ASNB.
Di mana kumpulan ini akan terlibat pada perubahan penilaian zakat yang kelak beralih kepada kaedah al-Mustaghallat iaitu kaedah penilaian zakat harta yang diperolehi daripada hasil sesuatu aset. Ini bermakna kelak zakat yang dikenakan adalah ke atas Dividen dan Bonus sahaja, yang diterima pelabur tidak lagi dikenakan ke atas jumlah modal seperti sebelum ini.
Ini antara unit amanah yang terlibat:
- Amanah Saham Bumiputera (ASB)
- Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB 2)
- Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik)
- Amanah Saham Malaysia (ASM)
- Amanah Saham Malaysia 2 Wawasan (ASM 2 Wawasan)
- Amanah Saham Malaysia 3 (ASM 3)

Jelas ASNB, kadar zakat ini kekal pada 2.5% ke atas pulangan tersebut, tertakluk kepada jumlah pulangan yang memenuhi Nisab semasa.

Lebih menarik, menjelang pertengahan 2026 – ASNB akan menawarkan pilihan inisiatif Pembayaran Zakat secara Kolektif atau Khultah iaitu menyediakan akses auto-zakat, yang membolehkan pemegang unit untuk menerima dividen bersih selepas zakat. Dengan kemudahan ini, ASNB akan bertindak membayar zakat bagi pihak pemegang unit untuk disalurkan kepada pusat zakat negeri berkaitan.