Tahun 2024 memaparkan bilangan siswazah di Malaysia meningkat kepada 5.98 juta orang dengan prestasi kadar pengangguran menurun kepada 3.2%. Angka ini jelas memaparkan pertumbuhan pasaran kerja di Malaysia semakin mengukuh tetapi penawaran semasa kekal tidak memenuhi tahap kemahiran siswazah negara.
Tahukah anda ketika ini 1.6 juta siswazah didapati menerima pekerjaan tidak sepadan dengan tahap kemahiran pendidikan mereka.
Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini menjelaskan daripada jumlah itu seramai 1.54 juta siswazah negara dalam kategori pekerjaan separuh mahir dengan 57,500 siswazah pula berada dalam pekerjaan berkemahiran rendah. Jumlah ini untuk makluman telah memaparkan peningkatan sebanyak 3.9% pada pasaran negara.
Namun situasi ini tidak hanya didepani Malaysia, bahkan ia turut menjadi cabaran buat negara luar. Buat pengetahuan umum, usaha menangani isu telah memperlihatkan Malaysia miliki prestasi yang lebih baik (32.2%) berbanding negara seperti Korea Selatan (36.8%), Indonesia (42.2%) dan Filipina (56.7%). Perkembangan ini jelas alami peningkatan susulan ketika ini seramai 3.38 juta orang merupakan kumpulan pekerja mahir di Malaysia.
Biarpun alami perkembangan yang baik, isu ketidaksepadanan kemahiran ini wajar dikekang secara berkala untuk memastikan setiap siswazah meraih kedudukan yang setimpal pada pasaran ekonomi di masa hadapan. Berdasarkan taburan status, tahun 2024 memaparkan jumlah berstatus Pekerja sekitar 4.3 juta orang, diikuti Majikan (277,600 orang), Bekerja Sendiri (360,500 orang) dan Pekerja Keluarga Tanpa Gaji (37,900 orang).
