Bermula 29 Oktober lalu, Maybank memaklumkan tindakan kelulusan Secure2u akan disahkan menerusi pengesahan biometrik untuk aplikasi MAE. Ciri ini untuk makluman akan diterapkan secara berperingkat bersama kumpulan pengguna.
Ini bermakna setiap kelulusan Secure2u perlu disahkan menggunakan ciri biometrik pada peranti pengguna – sama ada secara pengecaman wajah mahupun cap jari.
Dengan sokongan akses ini, Maybank melihat ia tidak sekadar meningkatkan tahap keselamatan dari tindakan penipuan kewangan tetapi turut mengelakkan berlakunya isu kelulusan transaksi tanpa kebenaran. Usaha ini sekaligus melengkapi ciri keselamatan lain seperti akses satu peranti, Malware Shielding dan Money Lock bagi melindungi pengguna perkhidmatan Maybank.
Namun sekiranya ciri biometrik berdepan masalah, usah khuatir – pengguna MAE kekal boleh meluluskan Secure2u dengan PIN aplikasi MAE. PIN ini mewakili nombor 6 digit yang pengguna tetapkan ketika pendaftaran aplikasi MAE.