Walaupun akses maklumat kini semakin meluas, hakikatnya jurang yang signifikan masih wujud dalam pasaran semasa – ini berikutan sekitar 87.7% pelajar TVET semasa akui tidak mengetahui bahawa pasaran TVET menawarkan kelayakan sehingga peringkat Ijazah.
Tinjauan FINCO berkaitan persepsi dan realiti arena TVET pada 2025 ini menjelaskan sekitar 28% pelajar beranggapan TVET sekadar menawarkan kelayakan sehingga Diploma, sementara sehingga Sijil (23%), Diploma Lanjutan (17%) dan 15% (Ijazah Sarjana Muda).
Lebih membimbangkan tahap kesedaran ini tidak sekadar rendah kalangan pelajar TVET mahupun keluarga semata bahkan 64% majikan di pasaran ekonomi semasa turut akui tidak memahami keseluruhan akan institusi yang menawarkan kursus TVET.

Apa Itu TVET?
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), atau singkatannya TVET, merujuk kepada sistem pendidikan yang memberi tumpuan kepada aspek praktikal, kemahiran teknikal, dan pengetahuan yang diperlukan dalam dunia pekerjaan. Berbeza dengan pendidikan akademik tradisional yang lebih menekankan teori, TVET melatih pelajar dengan kemahiran spesifik yang relevan dengan industri seperti automotif, kimpalan, elektrik, hospitaliti, dan teknologi maklumat. Matlamat utama TVET adalah untuk menghasilkan tenaga kerja berkemahiran yang cekap dan bersedia untuk memenuhi keperluan teknikal pasaran semasa.
Tahap Pemahaman Rendah – Namun 66% Majikan Akui Sedia Kuota Untuk Lepasan TVET
Meskipun tahap pemahaman majikan berkaitan TVET kekal rendah dan tidak menyeluruh, situasi ini dilihat tidak mengecilkan peluang pekerjaan untuk kumpulan ini susulan 66% majikan akui mempunyai permintaan untuk mengambil lepasan TVET dalam organisasi mereka. Manakala hanya 16% sahaja tidak miliki permintaan untuk lepasan TVET.
Berdasarkan data FINCO, 42% majikan miliki permintaan tinggi untuk lepasan TVET, 24% permintaan sederhana dan 19% permintaan terhad. Dan daripada jumlah ini, 24% majikan akui, pasaran Malaysia perlu memiliki lebih ramai pekerja lepasan TVET. Kenyataan ini sekaligus mencerminkan kualiti kemahiran yang dimiliki wajar diperluaskan.
Pasaran TVET Malaysia Perlu Manfaatkan Platform Digital
Berdasarkan saluran perkongsian maklumat yang direkodkan, didapati 28% akui media sosial menjadi medium yang membantu orang awam lebih memahami akan pendidikan TVET berbanding perkongsian maklumat dari ibu bapa (14%), rakan sebaya (11%), kajian sendiri (12%) dan kenalan (9%).
Dengan peratusan itu, perolehan maklumat pada medium tersebut wajar dimanfaatkan dengan perluaskan akses penyebaran maklumat itu bersama kumpulan pendidik, pemain indsutri, dan kumpulan pempengaruh. Langkah ini sekaligus dapat meningkatkan tahap kesedaran awam secara berkala di pasaran semasa.
Secara asasnya, TVET bertindak pelengkap pada pembangunan segmen industri berikutan memiliki pengetahuan teori dan kemahiran teknikal. Buat pengetahuan umum, kursus TVET ditawarkan di pelbagai institusi, termasuklah Kolej Vokasional, Institut Kemahiran Mara (IKM), politeknik, dan pelbagai pusat latihan kemahiran yang lain.
Walaupun TVET sering dilihat sebagai laluan kedua, ia sebenarnya menawarkan peluang kerjaya yang yang luas merentasi pelbagai sektor ekonomi dan miliki laluan pengajian yang fleksibel. Dan lebih menarik antara kursus TVET yang kurang diketahui umum adalah kewartawanan (1%), Perakaunan (3%), Sains Sukan (3%), Pemasaran (3%) dan Kejururawatan (4%).