Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) minggu ini mengumumkan penetapan had baharu bagi zakat emas perhiasan. Berlandaskan makluman itu, bagi pemakaian emas perhiasan yang lebihi 600 gram dijelaskan akan dikenakan zakat emas.
Dasar baharu yang dicapai pada 26 Januari 2025 ini menurut MAIK, mengambilkira adat kebiasaan di bawah kadar uruf – iaitu had kebiasaan pemakaian emas yang tidak dikenakan zakat. Perubahan ini mengambilkira penyesuaian pada kaedah pengiraan zakat di negeri Kelantan.
Oleh itu jika penduduk wanita negeri yang memakai emas perhiasan melebihi had 600 gram, maka kumpulan ini diwajibkan untuk melunaskan zakat atas lebihan berat tersebut. Kadar zakat yang akan dikenakan ke atas lebihan berat itu kekal pada kadar 2.5%. Penetapan had ini bertujuan untuk memastikan setiap individu menunaikan kewajipan zakat, tetapi pada masa yang sama tidak membebankan.

Dengan makluman baharu ini, diharap semua penduduk negeri berkaitan menyemak semula jumlah emas perhiasan yang dimiliki dan memastikan pengiraan zakat dilunaskan secara tepat. Bagi memudahkan semua pengguna, disini Rnggt senaraikan kadar uruf emas perhiasan mengikut setiap negeri di Malaysia:
- Johor – 425 gram
- Kedah – 200 gram
- Perlis – 85 gram
- Perak – 500 gram
- Pahang – 500 gram
- Negeri Sembilan – 200 gram
- Melaka – 180 gram
- Selangor – 800 gram
- Terengganu – 850 gram
- Kelantan – 600 gram
- Sabah – 152 gram
- Sarawak – 90 gram
- Wilayah Persekutuan – 800 gram