Selain menambahbaik pendekatan pusat transit, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sedang mengkaji reka bentuk infrastruktur Anti Gelandangan – untuk menangani isu tidur di tempat awam.
Kajian ini untuk makluman akan mengambilkira tindakan yang pernah dilaksanakan sebagaimana di bandar utama seperti London, Tokyo dan Singapura.
Jelas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha pada Parlimen hari ini, pendekatan itu antaranya akan meneliti reka bentuk seperti bangku awam, yang dilihat tidak sesuai untuk dijadikan lokasi tempat tidur golongan gelandangan. Di mana rekaan ini dijelaskan akan miliki pencahayaan yang optimum serta susun atur lanskap yang mengalakkan penggunaan sementara sahaja.
Pertimbangan itu bertujuan mengurangkan aktiviti gelandangan tidur di tempat awam tanpa menafikan hak pengguna lain pada kemudahan asas di bandar Kuala Lumpur (KL).
Selain rekabentuk infrastruktur Anti Gelandangan ini, pihak pentadbiran turut mencadangkan DBKL melaksanakan dasar benarkan agihan makan dalam bungkusan pek retort yang lebih tahan lama. Usul ni tidak sekadar memudahkan golongan gelandangan menyimpan makanan mereka tetapi mengurangkan risiko pembaziran.
Secara menyeluruh, terdapat 4,886 gelandangan pernah mendapat bantuan di bawah pusat transit bersama DBKL. Namun jumlah sebenar kumpulan ini di Kuala Lumpur masih tidak dapat dipastikan menurut data Wilayah Persekutuan.