Selaras dengan tindakan yang diperincikan pada Rancangan Malaysia Ke-13 – kelak sebuah sistem penggredan nutrien akan dilaksanakan menerusi pelabelan mandotori berhubung kadar garam dan gula yang digunakan pada produk makanan, minuman di pasaran Malaysia.
Ke arah pelaksanaan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada notis lisan Parlimen menjelaskan ia akan dimulakan secara berperingkat dengan produk minuman sedia diminum (ready-to-drink) dan seterusnya minuman yang disediakan di premis jualan (freshly prepared).
Pelaksanaan sistem ini perlu mengambilkira segala pindaan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 sebelum ia direalisasikan. Apa menariknya adalah jika minuman terlibat didapati berada pada gred D iaitu memiliki lebih 10g jumlah gula bagi setiap 100ml produk, maka minuman ini dilarang untuk diiklankan pada mana-mana platform.
Tindakan itu bertujuan mengukuhkan kawalan terhadap pengiklanan minuman yang memiliki kadar gula tinggi. Langkah sedemikian sekaligus akan menggalakkan pihak industri dan pengusaha minuman untuk melakukan reformulasi produk bagi mengurangkan kandungan gula.
Selain itu ia seiring dengan matlamat negara meningkatkan lagi tahap perlindungan ke atas rakyat dan struktur ekonomi daripada ancaman kesihatan serta melandaikan lonjakan penyakit tidak berjangkit (NCD) di pasaran semasa.
Berbalik kepada sistem gred tersebut, setakat ini usaha pembangunan sistem masih dijalankan dan selain tindakan itu – Malaysia telahpun menjalankan pemaparan label ‘Pilihan Lebih Sihat’ dan pelaksanaan Kempen Perang Ke Atas Gula bagi menambahbaik sistem penarafan tahap nutrisi yang terdapat pada produk di pasaran negara.