Krisis COVID-19 sebelum ini perlu menjadi peringatan buat semua negara serantau untuk lebih bersedia memiliki rangkaian kesihatan yang lengkap – maka ke arah mengukuhkan keperluan itu, ASEAN kini bercadang menubuhkan Rizab Bekalan Perubatan bagi Kecemasan Kesihatan Awam bersama sokongan ASEAN+3 (APTRMS).
Perkongsian yang dilaksana ketika Sidang Kemuncak ASEAN+3 ini sekaligus tidak sekadar memastikan pembekalan kesihatan mencukupi tetapi turut berfokus kepada manfaat rangkaian bersama negara serantau.
Buat pengetahuan umum pelaksanaan Rizab Bekalan Perubatan Serantau ASEAN iaitu ASEAN RRMS telahpun dibentuk sejak 2020, di mana aset bekalan perubatan setiap negara ASEAN secara sukarela boleh digunakan mengikut keperluan rakan serantau. Namun melalui perluasan Rizab Bekalan Perubatan bersama rakan kongsi Asia Timur iaitu China, Jepun dan Korea Selatan kini diteliti bagi mengukuhkan lagi rantaian pembekalan tersebut.
Sekiranya ia berupaya dibentuk, ini akan perlihatkan penyertaan 11 negara ASEAN ditambah dengan 3 rakan kongsi dialog Asia Timur utama melibatkan China, Jepun dan Korea Selatan.
Menerusi kerjasama ini, sokongan bekalan perubatan tidak lagi menjadi isu sempadan tetapi kelak menjadi isu keselamatan kesihatan yang lebih menyeluruh melibatkan negara serantau – khususnya tatkala berdepan ancaman dan risiko sebarang krisis kesihatan yang tidak diingini.