Hasil pengumuman kerajaan untuk mengenakan tindakan sekatan perjalanan ke atas peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) yang culas – kini aliran pembayaran semula pinjaman tersebut diperhatikan alami peningkatan.
Perkembangan positif itu dikongsikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dengan memaklumkan amaran sedemikian dilihat berjaya memberi kesedaran kepada sebilangan peminjam dan sekaligus terus mengukuhkan lagi pendapatan PTPTN. Setakat 31 Ogos lalu seramai 2.53 juta peminjam telah dan sedang laksana bayaran balik berjumlah RM25.25 bilion.
Namun KPT menegaskan keutamaan PTPTN adalah memantau kumpulan peminjam yang berkemampuan tapi kekal culas melunaskan pinjaman mereka, disusuli beri pertimbangan kepada kumpulan peminjam yang baru sahaja bekerja.
Maka untuk mengimbangi isu kegagalan pembayaran pinjaman ini, KPT menyeru semua peminjam yang berdepan masalah untuk merujuk kepada pihak PTPTN bagi pelarasan semula kadar pembayaran pinjaman. Tindakan ini sekaligus akan membantu peminjam menstruktur semula kemampuan pembayaran pinjaman mereka tanpa berdepan sebarang bebanan.