Jaya Grocer hari ini secara rasminya telah melancarkan cawangan terbaharu mereka yang ke-56 di pasaran Malaysia – namun apa yang menariknya adalah ini cawangan premiumnya yang pertama diperkenalkan, yang terletak di KLGCC Mall.
Pengenalan cawangan ini menurut Jaya Grocer, direka khas untuk komuniti kejiranan yang menghargai kualiti, kesegaran dan kemudahan, sekali gus menepati janji Jaya Grocer untuk menawarkan nilai terbaik kepada pengguna negara. Lebih menarik, terdapat sebilangan produk yang ditawarkan hanya tersedia di cawangan Jaya Grocer Signature, tidak pada cawangan lain.
Tidak hanya itu, cawangan Signature ini turut tampil dengan beberapa akses tambahan seperti restoran makanan laut – laüt, yang juga berfungsi sebagai ruang komuniti untuk pelbagai acara dan kaunter Wrap & Gift juga disediakan untuk memenuhi gaya hidup moden dan serba pantas.
Selain itu, cawangan ini juga memudahkan pengguna dengan sokongan perkhidmatan beli-belah dalam talian melalui GrabMart, serta penggunaan troli pintar dan Electronic Shelf Labels (ESL) di kedai untuk penetapan harga masa nyata.
Adanya pengenalan Jaya Grocer Signature ini, ia tidak sekadar meluaskan lagi jejak mereka tetapi turut menjadi penanda aras baharu bagi pengalaman membeli-belah runcit premium di Malaysia, yang mengutamakan kualiti, kemudahan, dan sentuhan rasa tempatan.