Pelancong yang melawat bandar bersejarah Melaka kelak akan menikmati kemasukan percuma ke beberapa lokasi tarikan popular mulai tahun hadapan, asalkan mereka menggayakan pakaian tradisional kebaya nyonya. Inisiatif istimewa ini diumumkan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Jusoh, sebagai usaha Kerajaan Negeri untuk menghargai dan mempromosikan warisan Peranakan yang menjadi lambang kekayaan budaya Melaka.
Akses ini mengikut laporan akan mula diperkenalkan pada tahun 2026 dan antara lokasi tarikan utama yang telah disahkan adalah Zoo Melaka dan perkhidmatan Melaka River Cruise.
Langkah ini tidak sekadar meningkatkan pendedahan tentang sejarah dan warisan masyarakat Cina Peranakan dan Chetti di Melaka. Malah turut bertujuan menggalakkan lebih ramai pelancong untuk sama menghidupkan dan menyemarakkan budaya ini semasa kunjungan mereka ke Melaka.
Dengan memberi ganjaran kepada pelancong yang memakai pakaian tradisional, ia secara tidak langsung menggalakkan penglibatan dalam tradisi tempatan dan memastikan warisan Peranakan terus dipelihara dan dikongsi dengan dunia.