Artikel

Inflasi Malaysia Kini Meningkat 1.5%

Bulan September memaparkan paras inflasi Malaysia kini terus meningkat kepada 1.5%. Kenaikan ini menurut data Jabatan Perangkaan (DOSM) didorong peningkatan kos dalam beberapa segmen ekonomi.

Antaranya Penjagaan Diri, Perlindungan Sosial & Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan naik kepada 4.8%, diikuti oleh Makanan dan Minuman (2.1%), Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (1.5%), Kesihatan (1.3%) dan Pengangkutan (0.7%).

Tidak hanya itu kos Restoran dan Perkhidmatan Penginapan juga memaparkan kenaikan kepada 3.3% sementara segmen Insurans Perkhidmatan Kewangan pula 5.6%, Pendidikan (2.4%), Rekreasi, Sukan & Kebudayaan (0.9%) dan Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (0.2%) kekal pada kadar yang sama direkodkan pada Ogos 2025.

Selain itu, inflasi subkumpulan Makanan di luar rumah merekodkan peningkatan kepada 4.4% berbanding 4.3% pada Ogos 2025. Manakala, inflasi subkumpulan Makanan di rumah tidak merekodkan sebarang peningkatan berbanding Ogos 2025 (-0.1%).

Berdasarkan taburan negeri, DOSM turut menjelaskan terdapat 5 negeri memaparkan peningkatan inflasi melebihi paras nasional (1.5%) iaitu Johor (2.0%), Negeri Sembilan (1.9%), Melaka (1.8%), Selangor (1.8%) dan Terengganu (1.7%). Manakala, baki 11 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional dengan Kelantan merekodkan inflasi terendah (0.5%) pada September 2025.