Syarikat logistik besar dunia, DHL Group, hari ini secara rasminya menganjurkan sidang GoTrade di Kuala Lumpur. Anjuran ini sekaligus menjadikan ia sebagai acara antarabangsa pertama DHL yang pernah dilaksanakan di luar Jerman.
Acara ini adalah tindakbalas DHL untuk menyokong pemain ekonomi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan serta memajukan kerjasama perdagangan serantau di bawah kerusi Asean Malaysia. Di mana sidang kemuncak ini menghimpunkan ramai penggubal dasar dan pemilik perniagaan dengan fokus untuk menjadikan rantaian bekalan lebih kukuh dan inklusif di tengah-tengah cabaran perdagangan global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan penutupnya, menekankan bahawa pendedahan sidang ini sangat bertepatan seiring dengan pelaksanaan Sidang Kemuncak Asean minggu ini, di mana beliau menekankan peranan pusat Asean serta kepentingan keterangkuman dan kelestarian untuk menyokong pertumbuhan PMKS, usahawan wanita, dan belia. Di Malaysia, inisiatif GoTrade DHL telah memberi sokongan kepada lebih 2,000 peserta melalui kerjasama dengan MATRADE, dan melibatkan lebih 1,200 ahli PMKS yang diterajui wanita melalui perkongsian dengan The Asia Foundation. Usaha ini juga termasuk kerjasama dengan Sarawak Energy Bhd untuk mengintegrasikan latihan logistik.
Melihat ke hadapan, DHL komited untuk mengembangkan program GoTrade ke semua 11 negara anggota Asean menjelang tahun 2026, bermula dengan Filipina tahun hadapan. Komitmen ini selari dengan kedudukan Asean yang semakin kukuh susulan berada pada kedudukan ekonomi ke-5 berlandaskan gabungan KDNK yang membawa kepada nilai hampir $4 trilion pada pasaran global.