Artikel

Indonesia Mahu Hasilkan Kereta Buatan Sendiri – Dalam Tempoh 3 Tahun 

Sekiranya Malaysia memiliki jenama seperti Proton dan Perodua, negara jiran Indonesia juga kini menzahirkan hasrat untuk memiliki kereta nasionalnya yang tersendiri. Presiden Prabowo Subianto memaklumkan bahawa Indonesia akan miliki kenderaan tempatan dalam tempoh tiga tahun mendatang, iaitu sekitar tahun 2028 dan 2029.

Kenyataan yang dibuat pada 20 Oktober di Sidang Kabinet Paripurna ini turut menjelaskan bahawa peruntukan dana dan persediaan pembangunan kilang pembuatan telahpun dilaksanakan.

Buat pengetahuan umum, Indonesia telahpun mempunyai kenderaan utiliti buatan tempatan, dikenali sebagai Maung, di bawah pengeluaran PT Pindad. Kenderaan ini asalnya direka untuk kegunaan ketenteraan dan operasi luar jalan raya. Biarpun ia sebuah Kenderaan Taktikal Ringan, versi limosin iaitu Maung MV3 Garuda telah digunakan oleh Presiden Prabowo untuk urusan rasmi, menjadikannya contoh sokongan produk tempatan.

Namun setakat ini jenama tersebut bukanlah untuk kegunaan komersial dan pengguna awam secara menyeluruh, maka dengan matlamat menghasilkan kenderaan tempatan komersial kelak – dijangka akan mengalakkan lebih ramai pengguna awam Indonesia menyokong produk tempatan.