Untuk mengelakkan berlakunya peningkatan krisis demografi yang mampu menjejaskan kestabilan sosial dan pembangunan Malaysia – pentadbiran kini dalam usaha merangka Pelan Hala Tuju Kesuburan Negara bersama 15 langkah strategik untuk menyokong meningkatkan kadar kesuburan di Malaysia.
Antara tumpuan yang sedang diteliti adalah menambahbaik penawaran cuti bersalin, cuti bapa, penyediaan insentif kewangan bagi kelahiran baharu, perluasan akses rawatan kesuburan serta gubal dasar tempat kerja dan komuniti untuk menerapkan konteks mesra keluarga.
Tumpuan ini menurut notis lisan di Parlimen – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sekaligus akan membantu rakyat meraih akses yang lebih saksama dan melandaikan tekanan risiko krisis demografi. Ketika ini satu Expert Group Meeting (EGM) Pelan Hala Tuju Kesuburan Negara 2026-2030 telahpun dilaksanakan – iaitu mengfokuskan pelaksanaan Indeks Tempat Kerja Mesra Keluarga, perluasan integrasi khidmat rawatan, akses perlindungan insurans dan insentif cukai.
Selain semakan itu, kelak Malaysia turut dijangka akan memiliki Pusat Subfertiliti Negara yang pertama dan disasar beroperasi di Shah Alam Selangor menjelang tahun 2030 kelak. Hab ini akan berperanan menjadi pusat rujukan kesuburan utama Malaysia dalam menyediakan khidmat rawatan moden, menyeluruh pada kos berpatutan khususnya buat golongan berpendapatan rendah.