Artikel

Ringgit Naik 6.1% Berbanding Dolar AS Bagi Tempoh Mac-September 2025 – BNM

Biarpun tahap kebimbangan terhadap pertumbuhan global terus meningkat kesan perkembangan tarif Amerika Syarikat (AS) dan berlakunya ketegangan geopolitik ketika ini – persekitaran pasaran kewangan Malaysia dilihat kekal teratur. Dengan nilai Ringgit terus mengukuh sebanyak 6.1% berbanding Dolar AS bagi tempoh tempoh Mac sehingga September 2025. 

Pengukuhan ini menurut perkongsian notis Bank Negara Malaysia (BNM) – didorong oleh perkembangan luaran, yang mana prospek ekonomi Malaysia kekal menggalakkan, sementara pembaharuan struktur bersama sokongan pelaburan syarikat korporat dilihat berupaya memberi impak yang positif buat Ringgit untuk jangka masa panjang.

Selain kemajuan itu, institusi kewangan di Malaysia kekal memaparkan daya tahan operasi yang kukuh pada separuh pertama 2025. Setakat akhir bulan Jun 2025, nisbah jumlah modal sistem perbankan berada pada 18.2%, dengan lebihan penampan modal sebanyak RM138.9 bilion.