Walaupun pada dasarnya tertulis gaji sebahagian rakyat Malaysia di paras yang stabil dan tinggi, namun 77% akui kekal bergelut dengan cabaran semasa susulan tidak mampu tangani kenaikan kos sara hidup ketika ini. Dapatan baharu laporan Trend Pengguna Malaysia 2025 oleh Central Force International ini mendedahkan jurang antara pertumbuhan gaji dan kuasa beli sebenar rakyat Malaysia dilihat semakin melebar.

Perihal ini turut disokong Bank Negara Malaysia (BNM) dengan menjelaskan kos makanan dan minuman di pasaran Malaysia terus memaparkan peningkatan berkala dengan lonjakan 17.5% sejak 2020 dan sebaliknya pertumbuhan gaji nominal sektor swasta setiap pekerja pula naik sekadar 7.9% pada tempoh yang sama. Peningkatan kadar ini dlihat mewakili hampir dua kali ganda lebih pantas berbanding kos lain.
Dengan tekanan itu, tinjauan dapati biarpun gaji minimum baharu dilaraskan pada takuk RM1,700 – sekitar 63.1% rakyat Malaysia berpendapat langkah sedemikian kurang berkesan dalam membantu rakyat mengurangkan bebanan kos harian. Sementara 28% pula akui tidak meraih manfaat susulan mereka kalangan bekerja sendiri dan ada antaranya adalah pekerja gig.

Situasi ini sekaligus merencatkan tindakan simpanan yang lebih besar. Berdasarkan perkongsian KWSP pada akhir 2024 seramai 1.4 juta pencarum KWSP yang berusia 40-54 tahun didapati miliki simpanan bawah RM10,000.
Kedudukan ini secara asasnya memperlahankan aliran perbelanjaan pengguna Malaysia meskipun meraih insentif bantuan subsidi yang lebih besar pada ketika ini. Dan lebih membimbangkan sekitar 22% rakyat negara turut akui tidak bersedia sekiranya mereka berdepan situasi yang memerlukan dana kecemasan dengan 14.9% akui tidak dapat penuhi keperluan asas harian.