Bagi meningkatkan tahap keselamatan para pelajar di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini melaksanakan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 200 buah asrama sekolah di bawah KPM bermula 13 Oktober lalu. Pelaksanaan ini menurut notis Parlimen melibatkan peruntukan berjumlah RM3 juta.
Pemasangan di asrama sekolah terpilih ini berasaskan penilaian risiko dan keperluan setempat. Antaranya meliputi rekod kes buli dalam tempoh 2 tahun, kepadatan jumlah pelajar, kesiapsiagaan infrastruktur elektrik dan rangkaian, serta pengesahan khidmat teknikal bagi penempatan kamera dari Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO).
Selain menambahbaik sistem keselamatan, penempatan CCTV ini juga miliki garis panduan khusus. Iaitu memastikan pemasangan ia mematuhi prinsip perlindungan data peribadi serta privasi murid selaras dengan kehendak perundangan dan dasar KPM. Jelas KPM, keperluan CCTV ini akan terus dilanjutkan secara berperingkat berlandaskan peruntukan kewangan pada Belanjawan 2026.