Kerajaan Malaysia kini bersetuju untuk membuka permohonan kuota penggajian pekerja asing berlandaskan kes tertentu dan tertumpu pada sektor kritikal merangkumi Pertanian, Perladangan serta Perlombongan dan Pengkuarian.
Keputusan ini dicapai hasil penelitian bersama Kementerian Dalan Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan keperluan tenaga kerja dalam sektor yang digariskan. Pembukaan kuota ini menurut laporan bagaimanapun terhad kepada 10 subsektor di bawah 3 sektor tersebut dan terbuka sehingga 31 Disember 2025 kelak.
Dijelaskan permohonan boleh dilaksana secara terus kepada Pusat Sehenti Pengurusan Pekerja Asing KDN dan segala keperluan akan dinilai oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung.
Dengan keputusan ini, siling jumlah pekerja asing dikekalkan pada jumlah semasa sehingga 31 Disember 2025 kelak dan selepas tarikh itu kerajaan akan beralih kepada had baharu iaitu 10% daripada jumlah tenaga negara – bertepatan dengan matlamat yang dirangka bawah Rancangan Malaysia Ke-13 menjelang 2030.