Artikel

Cukai Cecair Vape Dicadang Naik Kepada RM4 Per Mililiter

Bertepatan dengan pembentangan Belanjawan 2026 tidak lama lagi, Kementerian Kesihatan (KKM) kini telah mengemukakan cadangan untuk naikkan kadar cukai cecair nikotin rokok elektronik (vape) dari 40 sen kepada RM4 per mililiter (ml). 

Cadangan yang dikongsikan pada sidang Parlimen hari ini, dilihat wajar susulan mengambil kira sebatang rokok bersamaan dengan 10 sedutan manakala bagi 1ml cecair vape pula mewakili 100 sedutan. Maka adalah relevan untuk pelarasan kadar cukai cecair yang lebih tinggi dilaksanakan pada pasaran semasa.

Perihal ini tidak sekadar ingin melindungi kualiti kesihatan orang awam tetapi turut bertujuan mengurangkan penggunaan vape di pasaran semasa. Biarpun Malaysia belum melaksanakan sebarang tindakan larangan mandatori penjualan vape namun langkah ini dilihat antara komitmen negara untuk realisasikan matlamat tersebut. Setakat ini terdapat 37 negara lain telah mengambil keputusan mengharamkan jualan vape dan tindakan itu wajar dijadikan contoh untuk negara.