Selaras dengan aliran transformasi pada pasaran Malaysia, kini 818 ladang di seluruh negara telah menggunakan sistem pertanian pintar bagi meningkatkan kecekapan tanaman serta pengeluaran hasil.
Usaha ini menurut notis Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), melibatkan penerapan sistem pintar pada usahawan tanaman, akuakultur dan ternakan ayam. Jumlah ini adalah hasil daripada pelaksanaan Projek Menaiktaraf Sistem Pengairan Pintar Berteknologi Internet Kebendaan (IoT) di bawah Jabatan Pertanian.
Selain itu, usaha strategik turut dilaksanakan bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi inisiatif Digital AgTech yang melibatkan 700 ladang di seluruh negara.
Dengan perkembangan ini, dijangka ia tidak sekadar membantu tahap kecekapan penghasilan pertanian tetapi turut mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja secara manual dan meraih aliran produktiviti yang lebih baik. Keupayaan itu selaras dengan matlamat negara untuk mentransformasikan sektor pertanian negara ke arah lebih moden menjelang 2030.