Ketika tabiat merokok diperhatikan kian menurun, ternyata penggunaan rokok elektronik (vape) dilihat semakin meningkat kalangan pengguna dunia. Lebih membimbangkan, aliran ini menunjukkan berlakunya peningkatan pengguna vape kalangan remaja – iaitu hampir 15 juta pengguna.
Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada laporan baharu ini menjelaskan lebih 100 juta penduduk di dunia kini adalah penghisap vape dengan 86 juta pengguna kalangan dewasa di kebanyakkan negara berpendapatan tinggi. Sementara data membabitkan 15 juta remaja itu pula dijelaskan dalam kategori usia sekitar 13 tahun sehingga 15 tahun.
Lonjakan ini berlaku antaranya kesan akses vape yang lebih mudah, menjadikan kanak-kanak dan remaja sebagai tumpuan pengguna baharu pemain industri vape. WHO menggesa kerajaan di seluruh dunia untuk mempertingkatkan kawalan tembakau. Ini bermakna menguatkuasakan perundangan sepenuhnya meliputi tindakan menaikkan cukai tembakau, mengharamkan pengiklanan, dan meluaskan perkhidmatan berhenti merokok agar jutaan lagi pengguna tidak terpengaruh serta menyokong lebih ramai pengguna untuk berhenti.
Berdasarkan taburan dunia, pasaran Asia Tenggara yang sebelum ini menjadi antara wilayah titik panas pada penggunaan tembakau kini dilihat telah alami pengurangan kepada 37% pengguna setakat 2024. Pasaran ini jelas WHO telah menjadi penyumbang lebih daripada 50% penurunan di peringkat global.
Untuk Malaysia, terdapat 7 negeri telah menyatakan sokongan laksana larangan penjualan dan tidak lagi memperbaharui lesen perniagaan penjualan vape. Usaha ini sekaligus memaparkan komitmen Malaysia untuk melindungi generasi muda pada penggunaan yang dilihat semakin rancak pada pasaran semasa.