Sarawak kini sedang meneliti cadangan untuk mewajibkan lesen memelihara kucing sebagai langkah penting dalam memerangi penyakit rabies (penyakit haiwan gila) dan status vaksinasi rabies haiwan peliharaan.
Secara tradisinya, anjing adalah satu-satunya haiwan peliharaan yang diwajibkan berlesen oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Malaysia, manakala kucing tidak. Perbezaan ini wujud terutamanya berdasarkan faktor sejarah, tingkah laku, dan risiko kesihatan awam yang lebih tinggi yang dikaitkan dengan anjing.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, mengesahkan bahawa langkah ini sedang dipertimbangkan berikutan berlakunya kes rabies kalangan kucing.
Tujuan utama pelesenan kucing bukanlah untuk meraih hasil yuran, tetapi untuk pengumpulan data yang lebih baik. Apa yang penguatkuasa mahukan adalah data yang tepat mengenai jumlah kucing yang ada, di mana kucing itu berada, dan corak pemilikannya.
Namun langkah ini masih diperingkat semakan susulan undang-undang sedia ada iaitu Undang-Undang Kecil Pelesenan dan Kawalan Anjing 2018 perlu dipinda terlebih dahulu. Pihak kerajaan negeri kini sedang berunding dengan pakar untuk merangka strategi rabies yang lebih menyeluruh, yang melibatkan kedua-dua anjing dan kucing.