Artikel

Kenapa Trump Datang Malaysia?

Sebagaimana yang umum ketahui, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, kini telah mengesahkan kehadirannya pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang akan dihoskan oleh Malaysia di Kuala Lumpur pada Oktober 2025 kelak. Kunjungan peringkat tertinggi ini sekaligus telah menarik pelbagai tumpuan, yang mana kehadiran ini bukan sekadar lawatan biasa, tetapi ia berpotensi menjadi petunjuk penting tentang perubahan dinamik geopolitik di rantau Asia Tenggara bersama gagasan ekonomi AS yang baru.

Kehadiran Trump, yang terkenal dengan dasar America First dan sikap skeptikalnya terhadap perjanjian pelbagai hala, menjadikan Sidang Kemuncak ini platform yang sangat menarik. Jadi apa agenda disebalik kehadiran Trump ini?

Terima Jemputan Malaysia – Untuk Imbangi Pengaruh AS Di Rantau ASEAN

Donald Trump seringkali dilihat sebagai antara pemimpin dunia yang kerap mengabaikan forum ekonomi melibatkan rantau ASEAN. Berdasarkan rekod, kali terakhir Trump turut serta pada sidang ASEAN adalah pada 2017 di Filipina dan penyertaan itu hanyalah sekali sahaja melibatkan pertemuan pada mesyuarat utama. Sikap ini sekaligus telah menimbulkan pelbagai persoalan akan komitmen AS terhadap ASEAN dan apabila dimaklumkan Trump menerima jemputan Perdana Menteri Anwar Ibrahim – ia sekaligus mengujakan ramai pihak akan tindakan ini.

Pengesahan lawatan itu sekaligus akan membuka peluang keemasan untuk para pemimpin ASEAN menarik minat Trump dan mengukuhkan hubungan ekonomi bersama pasaran Asia Tenggara. Sementara Malaysia, Selaku Pengerusi ASEAN 2025, negara harus memanfaatkan pertemuan ini untuk memastikan AS mengekalkan penglibatan kukuh mereka dengan rantau ini. Usaha ini bertujuan untuk mengintegrasikan ASEAN secara aktif ke dalam dasar luar AS dan mengimbangi dasar America First yang lebih bersifat unilateral iaitu bertindak sendiri.

Muktamadkan Pelarasan Tarif Dan Perjanjian Perdagangan

Setelah melalui beberapa fasa rundingan, AS pada 1 Ogos lalu telahpun mencapai persetujuan mengenakan 19% tarif import ke atas semua barangan Malaysia. Kadar ini untuk makluman telah mengalami perubahan daripada 24% kepada 25% dan akhirnya 19%. Adakah Malaysia berpuas hati? Tentulah tidak, ini kerana sebagai timbal-balas Malaysia perlu membelanjakan sekitar $240 bilion dalam tempoh 5 tahun bersama AS untuk kekalkan kadar tarif yang ‘baik’ ini.

Jadi dengan kehadiran Trump, ia tidak sekadar mengiktiraf kepentingan ASEAN dalam ekonomi tetapi ini akan jadi peluang strategik untuk Malaysia menyempurnakan perjanjian perdagangan dua hala melalui Perjanjian Perdagangan Timbal Balas. Menerusi kesepakatan ini, Malaysia berharap dapat menghapuskan halangan bukan tarif lain, sekaligus menjamin akses pasaran yang lebih stabil kepada AS, yang merupakan pasaran eksport utama rantau ini.

Pertemuan Trump Dan Xi Jinping – Peluang Redakan Ketegangan Ekonomi

Hasrat Donald Trump untuk bertemu dengan Presiden Xi Jinping di Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober 2025 adalah satu peluang penting. Pertemuan ini perlu berlaku kerana ketegangan ekonomi antara AS dan China kini jauh lebih besar daripada isu defisit perdagangan.

Antara tiga isu utama yang akan menjadi tumpuan utama dalam pertemuan ini adalah tarif tinggi yang dikenakan oleh AS ke atas barangan China, yang kemudiannya dibalas China. Kedua, Perang Cip, di mana AS menyekat cip AI canggih, dan China membalas dengan mengarahkan syarikat teknologi mereka supaya hanya menggunakan cip buatan tempatan. Ketiga, kuasa besar China dalam rantaian bateri global—terutamanya untuk Kenderaan Elektrik (EV). Dominasi China dalam pembuatan dan pemprosesan bahan bateri dilihat mengancam AS. Sekiranya isu ini tidak dibincangkan dan diselesaikan secara bersama, tindakan serangan balas secara berlarutan ini akan sekadar menggugat pasaran lain.

Di mana rantaian perdagangan dunia akan menghadapi risiko besar. Apabila rantaian bekalan terputus atau beralih, kos operasi dan pengeluaran akan meningkat. Akhirnya, kos yang lebih tinggi ini akan dipindahkan terus kepada pengguna di seluruh dunia. Oleh itu, pertemuan di Kuala Lumpur ini adalah lebih daripada sekadar diplomasi politik, ia adalah langkah penting untuk melindungi poket pengguna global daripada kenaikan kos sara hidup.


Kesudahannya, biarpun kehadiran Presiden Trump ini dijangka akan mencetuskan pelbagai kritikan awam dan memberi cerminan yang kurang enak terutama atas isu sokongan Malaysia ke atas Palestine, yang dilihat bertentangan dengan pengamatan AS. Namun pertemuan ini relevan untuk dilaksanakan. Ini kerana pada sudut pandangan strategik, dengan memanfaatkan Sidang Kemuncak ASEAN – peluang ini dapat meredakan ketegangan ekonomi besar antara AS dan China yang sekaligus akan memberi kestabilan ekonomi kepada pelbagai pihak. Oleh itu, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN perlu bijak menggunakan medium diplomatik ini untuk mencapai hasil ekonomi yang positif tanpa perlu menjejaskan prinsip kemanusiaan dan pendirian negara dalam isu konflik di Timur Tengah.