Artikel

Had Kelayakan Tambah Kuota BUDI95 Pemandu Seru-Pandu – Akan Dimuktamadkan Minggu Ini

Seperti yang umum ketahui, kumpulan pemandu seru-pandu (e-hailing) di Malaysia menjadi antara kategori yang kelak boleh memohon kuota tambahan pada perolehan subsidi RON95 penggunaan lebih 300 liter sebulan. Berdasarkan tindakan itu, Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan had kelayakan permohonan tersebut akan dimuktamadkan pada minggu ini. 

Tindakan ini akan melibatkan penelitian bersama kumpulan Penyedia Perkhidmatan E-Hailing (EHO) bagi tujuan mengenalpasti pemandu yang layak untuk had kelayakan tambahan petrol bersubsidi. Semakan ini turut akan perlihatkan kerjasama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi lebih memahami kriteria yang diperlukan.

Dengan usahasama itu, langkah ini sekaligus akan memberi kelegaan kepada pemandu seru-pandu susulan perkhidmatan tersebut menjadi sumber pendapatan utama mereka. Oleh itu, semua pemandu seru-pandu disarankan untuk merujuk kepada penyedia platform masing-masing bagi mengetahui kriteria permohonan kuota tambahan BUDI95 tersebut kelak.