SME Bank hari ini secara rasminya melancarkan kemudahan aplikasi Enterprise Lifecycle Scoring Assesment (ELSA) pada pasaran Malaysia – dengan membolehkan kumpulan peniaga meraih akses meluas kepada arena ekonomi digital.
Sebagaimana nama aplikasi ini, menerusi notis pelancaran hari ini kumpulan usahawan dan perusahaan kecil, sederhana (PKS) di Malaysia kelak boleh meraih pelbagai akses digital merangkumi penilaian berhubung perkembangan perniagaan, mengenalpasti keperluan tambahan operasi, meneliti jenis bimbingan yang perlu diteroka dan memantau potensi perkembangan perniagaan.
Dengan bertindak selaku akses diagnosis digital kepada kumpulan peniaga, aplikasi ELSA secara langsung akan membantu usahawan untuk memahami kekuatan dan cabaran mereka dalam mengukuhkan kehadiran pada pasaran digital. Usaha ini sekaligus akan meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia.
Untuk peringkat awal pengenalan, SME Bank menyasarkan sekitar 10,000 PKS akan terlibat pada penggunaan aplikasi ELSA untuk tempoh 2 tahun mendatang. Selari dengan matlamat itu, ciri aplikasi ini akan menjamin PKS dipandu dari peringkat penilaian, pembiayaan dan seterusnya ke akses pasaran yang lebih luas bagi menwujudkan laluan pertumbuhan yang mampan.