Artikel

Purata Gaji Rakyat Malaysia Kini Naik 6.1% Kepada RM3,652 Sebulan Pada 2024 – DOSM

Sepanjang tahun 2024, didapati gaji dan upah bulanan rakyat Malaysia secara puratanya telah naik sebanyak 6.1% kepada RM3,652. Peningkatan ini, menurut Survei Gaji dan Upah 2024 dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), mencerminkan petunjuk positif dan potensi pendapatan yang lebih baik bagi sebahagian besar tenaga kerja di negara ini, menandakan pertumbuhan yang stabil dalam pasaran buruh.

Biarpun pertumbuhan ini positif, analisis terperinci DOSM mendedahkan perbezaan yang ketara terus berlaku antara jantina dan tahap pendidikan. Pekerja lelaki terus meraih purata gaji yang lebih tinggi pada RM3,759, berbanding pekerja wanita dengan purata gaji RM3,499. Sementara itu, tahap pendidikan perlihatkan kumpulan pekerja dengan pendidikan Tertiari mencatatkan purata tertinggi pada RM4,962, jauh melebihi pekerja di tahap Menengah (RM2,684), Rendah (RM2,128), dan Tiada Pendidikan Rasmi (RM1,900). Perkara ini menekankan kepentingan kelayakan akademik dalam menentukan potensi pendapatan pada pasaran Malaysia.

Jurang gaji juga dapat diperlihat pada kategori mengikut tahap kemahiran. Di mana pekerja Mahir mencatatkan purata gaji tertinggi dengan RM5,582, manakala gaji pekerja Separuh Mahir adalah RM2,604, dan pekerja Berkemahiran Rendah adalah RM2,128.

Manakala taburan mengikut negeri pula Putrajaya kekal mengungguli senarai negeri dengan purata gaji tertinggi pada RM5,091. Ia diikuti rapat oleh bandaraya utama lain seperti Kuala Lumpur (RM4,782), Selangor (RM4,052), Labuan (RM3,812), dan Pulau Pinang (RM3,787). Taburan ini mencerminkan tumpuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di pusat-pusat pentadbiran dan ekonomi utama negara.