Artikel

TikTok Malaysia Perluas Inisiatif ThinkTwice – Sedia Akses Pelbagai Bahasa Cegah Penipuan

Didorong hasil sokongan jutaan pengguna pada inisiatif kesedaran tahun 2024, TikTok Malaysia kini kembali memperluaskan program literasi digitalnya, #ThinkTwice (#FikirDulu), bagi tahun semasa. Perluasan ini bertujuan untuk memudahkan semua pengguna mendapatkan maklumat kritikal mengenai pencegahan penipuan siber.

Lebih menarik inisiatif ini telah diperkukuh dengan penyediaan hab maklumat dalam aplikasi yang kini tersedia dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Mandarin, dan Tamil bagi memastikan liputan yang inklusif dan menyeluruh dapat dicapai merentasi pelbagai komuniti di Malaysia.

Untuk makluman inisiatif  #ThinkTwice direka bagi memberi peringatan kepada pengguna untuk berwaspada dan menggalakkan warga Malaysia  mengamalkan tiga langkah penting dalam menghadapi ancaman siber. Ini meliputi tindakan Menilai – mengambil masa untuk berfikir dan mengelakkan kegiatan melanggar peraturan, Mencegah – menggunakan fungsi keselamatan TikTok dan akses daripada pihak berkuasa tempatan, dan Melindungi – melaporkan kegiatan yang melanggar peraturan untuk saling menjaga hak komuniti.

Tidak hanya itu usaha ini turut disokong oleh kerjasama strategik melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Penglibatan agensi-agensi ini adalah penting bagi memastikan maklumat yang disalurkan adalah sah, terkini, dan selaras dengan kerangka pencegahan penipuan di peringkat nasional.

Maka sebarang maklumat lanjut, semua pengguna boleh layari hab maklumat dalam aplikasi TikTok Malaysia atau akaun rasmi TikTok Malaysia untuk perincian seterusnya.